Mengapa Syarikat Sdn Bhd Akan Berkembang

ARTICLE + BISNES

Ada 3 jenis syarikat yang boleh kita daftarkan di SSM iaitu Enterprise, PLT dan juga Sdn Bhd. Ketiga-tiga jenis syarikat ini ada kelebihan dan kekurangan masing-masing kerana masing-masing diwujudkan untuk fungsi yang berbeza-beza.

Syarikat Sdn Bhd adalah jenis syarikat khusus yang kita daftarkan jika kita mahu mengembangkan syarikat kita.

Mengapa begitu?

Kerana syarikat Sdn Bhd ada 2 mekanisma yang sememangnya khusus bagi syarikat yang mahu berkembang iaitu:

1) Akaun beraudit dan
2) Pemegangan Saham

Ya, tanpa dua perkara di atas, syarikat yang kita bina sukar dikembangkan. Perkembangan syarikat dalam konteks post ini adalah syarikat yang berkembang dari segi kewangan disebabkan oleh penambahan dan tahap efisien tenaga kerjanya.

Mengapa Akaun beraudit akan menjamin perkembangan syarikat? Mudah sahaja. Akaun beraudit akan memaksa pemilik syarikat untuk mempunyai penyata akaun kewangan syarikat yang betul dan tepat.

Penyata akaun yang tepat adalah perkara paling penting bagi kita untuk membuat keputusan berdasarkan data.

Apabila kita membuat keputusan berdasarkan data dan fakta, kita tidak lagi boleh menipu diri sendiri. Kita akan membuat keputusan yang lebih bagus dan seterusnya menjamin perkembangan syarikat.

Akaun beraudit memaksa kita membuat keputusan dengan tepat. Malah, akaun yang diaudit juga membolehkan kita meminta pandangan konsultan luar untuk membantu kita membuat keputusan yang lebih baik.

Apa jadi jika kita tiada akaun syarikat? Kita ibarat memandu dalam gelap malam tanpa sebarang lampu dan panduan. Paling bagus jika begitu ialah syarikat kita ‘sesat’. Paling teruk syarikat kita ‘kemalangan’. Jangan haraplah syarikat kita mahu berkembang!

Syarikat jenis sdn bhd juga membolehkan kita ‘berkongsi’ sebahagian syarikat dengan pemegang saham yang lain. Maksudnya, apabila syarikat kita berkembang, mereka sebagai pemegang saham juga akan menerima habuan.

Ini adalah cara yang mudah untuk memastikan key player syarikat kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembangkan syarikat kita.

Malah, pemegangan saham juga boleh dijadikan insentif untuk mendapatkan rakan kongsi yang kita amat perlukan kemahiran dan atau modal-modal mereka. Dalam kes permodalan, pemegangan saham adalah sebahagian insentif yang mereka mahu, selain daripada beberapa perkara lain.

Apabila syarikat kita membolehkan modal luar masuk untuk kita gunakan, maka syarikat kita boleh berkembang dengan lebih pesat!

Itulah dua mekanisma yang ada pada syarikat sdn bhd yang menjadikan ia satu jenis syarikat yang boleh berkembang berbanding yang lain.

Maka, jika kita mahu mengembangkan syarikat kita, naikkan taraf ia kepada Syarikat Sdn Bhd!

ps: Post seterusnya saya akan kongsi tentang fungsi-fungsi bagi jenis-jenis syarikat yang lain. Ya, lain jenis syarikat lain fungsinya! Sambung baca di sini: Fungsi Bagi Setiap Jenis Syarikat

Artikel Lain
   

Hakcipta Terpelihara © 2017 Izwan Wahab