Karakter Usahawan Yang Berjaya

ARTICLE + BISNES

Apabila kita lihat mereka yang ‘berjaya’, bukan sahaja dalam bidang bisnes, tetapi merentas pelbagai bidang, kita boleh lihat ada beberapa persamaan pada karakter mereka.

Malah, menurut tulisan Dr Fleming, karakter tersebut tiada kena-mengena dengan kapasiti IQ mereka.

Antara karakter-karakter tersebut adalah:

1) Bangun Kembali Bila Gagal

Ini adalah sikap yang paling utama. Mereka yang berjaya adalah mereka yang seribu kali bangun daripada kegagalan. Mereka yang tidak pernah putus asa.

Mereka berjuang melawan kegagalan.

Bagi mereka, kegagalan adalah wajah lain untuk cikgu yang paling garang tetapi bijak: pengalaman.

Sakit dan derita hanya sementara. Jika tidak putus asa, pasti gunung kegagalan dapat di takluki.

2) Belajar Daripada Kegagalan

Ini adalah kunci kepada karakter pertama. Mereka yang berjaya tahu bagaimana untuk belajar daripada kegagalan.

Mereka kreatif dalam mencari cara untuk mengatasi kegagalan mereka. Malah, biasanya mereka ada sistem sokongan yang membantu mereka belajar daripada kegagalan.

Kegagalan di sini tak semestinya kegagalan sendiri, tetapi juga kegagalan orang lain.

Bagaimana kita mahu belajar daripada kegagalan orang lain? Ingat, kegagalan = pengalaman.

Kita boleh belajar daripada pengalaman orang lain untuk menguasai kegagalan kita sendiri.

3) Tahu Cara untuk Fokus

Ini adalah kemahiran kedua, selepas kemahiran ‘belajar’ di atas, dalam karakteristik orang yang berjaya.

Mengapa fokus sangat penting?

Kerana hanya dengan fokus sahaja, barulah usaha kita mampu memberi impak yang kuat kepada sasaran kita.

Jika kita berusaha bersungguh-sungguh tetapi tidak fokus, satu kerja pun tidak akan siap. Bila tiada kerja yang siap, maka tiada orang yang akan menerima impak daripada usaha kita.

Termasuk kita sendiri.

Apa yang perlu kita fokuskan?

  • Masa
  • Perhatian
  • Tenaga

Pilih satu perkara yang mahu kita selesaikan, dan fokuskan tiga sumber kita tadi semata-mata kepada menyelesakan perkara tersebut.

Kita akan terkejut, kerana kita baru sedar yang dengan kemahiran fokus, kita mampu selesaikan walau kerja yang paling besar!

4) Amalan Rutin Yang Membina

Ini rahsia mereka yang berjaya yang hanya kita nampak jika kita berdamping dengan mereka.

Mereka biasanya ada rutin yang menjadi asas kepada gerak kerja harian mereka. Rutin inilah yang membantu mereka memulakan hari dengan produktif.

Ada 2 jenis rutin yang betul:

  • Rutin Kick Start
  • Rutin Membina

Rutin Kick Start adalah ritual yang kita lakukan setiap hari sebelum memulakan kerja kita. Ada orang memilih minum kopi sebagai tanda mahu bula buat kerja. Ada lain menjadikan rutin sembahyang dhuha sebagai simbol kerja akan bermula.

Pilih rutin kick start yang kita selesa.

Rutin Membina pula adalah kerja-kerja harian yang dilakukan yang akan menokok tambah value dalam urusan mereka.

Contohnya, jika beliau adalah usahawan, rutin membina yang boleh dilakukan adalah perkara yang menambah value dalam bisnes mereka. Contohnya, petani, rutin membina adalah menyemai anak benih. Jika penjual, rutin membina adalah menambah baik SOP menjual. Jika penulis, rutin membina adalah menulis.

Rutin membina adalah aktiviti yang sama yang dilakukan setiap hari, tetapi hasilnya akan bertambah dari sehari ke sehari.

Penulis yang menulis 500 patah perkataan setiap hari, cukup 200 hari sudah ada 100 000 patah perkataan. Cukup untuk 5 buah buku!

5) Lebih Suka ‘Buat’

Mereka yang berjaya adalah mereka yang memilih untuk ‘buat’ setelah menulis rancangan mereka atas kertas.

Mereka memilih untuk ‘buat’ apabila sudah ada idea.

Hanya ada idea bisnes yang menarik dan pasti dabom, tetapi tidak buat, tetaplah tidak akan dapat hasilnya.

Pastinya buat yang awal-awal tidak berjaya. Gagal. Tetapi dengan karakter pertama dan kedua, iaitu belajar daripada kegagalan, pastinya akan capai kejayaan satu hari nanti.

6) Buat Keputusan Berdasarkan Data/Fakta

Mereka yang berjaya adalah mereka yang belajar daripada kegagalan dan pengalaman orang lain. Perkara paling penting tentang belajar adala kita perlu ada data dan fakta.

Tanpa 2 perkara itu, kita tidak mungkin boleh belajar apa-apa.

Kerana itulah mereka yang berjaya adalah mereka yang amat menitik beratkan merekod segala data yang diperlukan.

Mereka juga sangat mementingkan bahawa semua data-data tersebut adalah Fakta, bukan rekaan semata-mata.

Perkara yang kita belajar daripada data yang tipu, jadi sia-sia dan merugi sahaja!

Mereka yang berjaya akan mengumpulkan data-data ini dan membuat analisis bagi mencari cara lain untuk mengatasi kegagalan. BUKAN mencari siapa yang bersalah.

Itulah sebahagian daripada karakteristik dan sikap mereka yang berjaya. Tidak kita dalam apa bidang sekalipun: bisnes, sukan, pembelajaran, memasak atau apa sahaja, sikap mereka yang berjaya tidak jauh bezanya.

Berita baiknya adalah: kita boleh ubah sikap kita sendiri agar mencerminkan karakteristik-karakteristik di atas.

Dengan meniru sikap orang yang berjaya, kita juga boleh jadi berjaya dalam bidang kita sendiri.

Artikel Lain
   

Hakcipta Terpelihara © 2017 Izwan Wahab