Buat Apa Yang Kita Suka, Wang Akan Datang Mengejar Kita

ARTICLE

Buat Apa Yang Kita Suka, Wang Akan Datang Mengejar Kita

Nasihat yang paling popular oleh mereka yang berjaya, khususnya usahawan veteran kepada mereka yang baru mahu bermula.

Ya, memang betul ayat di atas. Namun, ramai pula yang buat apa yang mereka suka namun akibatnya melingkup jahanam. Tiada hasil malah semakin mudarat.

Adakah nasihat di atas jadi salah? Mengapa orang lain, khususnya beliau boleh berjaya pula?

Jika kita fikirkan dengan disiplin berfikir saintifik, kemungkinan besar nasihat di atas tidak lengkap. Ya, nasihat “Buat apa yang kita suka dan duit akan datang kemudian” itu tidak lengkap sebagai panduan kerana jika ia lengkap, pasti sesiapa sahaja yang ikut nasihat tersebut akan dapat hasil yang sama.

Maka, soalan lain yang terbit kemudian adalah “Apakah nasihat tersebut dalam versi lengkap?”

Fikir semula, apakah ‘akibat’ apabila kita buat perkara yang kita suka?

Akibat yang sepatutnya adalah kita betul-betul jadi pakar dalam perkara tersebut. Ya, PAKAR. Bukan sahaja MAHIR tetapi PAKAR. Apabila kita buat apa yang kita suka selama 10000 jam, tanpa mengharapkan hasil wang ringgit tetapi semata-mata mengejar kepuasan menguasai satu-satu bidang dengan 100%, maka hasilnya pastilah kita sangat pakar tentang perkara tersebut.

Kepakaran kita itu kelak boleh dijual.

Apa yang ada pada pakar tetapi tiada pada pengamal bidang? Apabila timbul masalah baru, pakar tersebut ada cara untuk mengatasinya. Pengamal bidang yang biasa-biasa belum tentu boleh atasi. Contoh paling mudah, pasti kita pernah dengar kes kereta yang rosak yang telah cuba dibaiki oleh banyak bengkel kereta tetapi tidak berjaya. Tetapi akhirnya kita berjumpa dengan satu mekanik yang dengan mudah menyelesaikan masalah tersebut. Itulah PAKAR.

Kita sebagai pelanggan premium lebih rela upah mekanik pakar berbanding bengkel biasa selepas kes itu.

Bagaimana pula kita mahu jadi pakar dalam bidang tersebut? Hanya apabila kita berdisiplin mendalami dan menguasai satu persatu perincian tentang bidang tersebut. Menurut rujukan dalam buku Malcolm Gladwell, pengamal bidang secara puratanya perlu mendalami perincian bidang mereka selama 10000 jam, barulah mereka mencapai tahap pakar.

Kita tidak mungkin dapat menghadap perkara yang susah dan memeningkan kepala selama 10000 jam jika kita tidak minat perkara tersebut.

Maka itulah dia perkara yang tiada dalam nasihat yang popular itu: “Buat perkara yang kita minat sehingga kita JADI PAKAR, maka duit akan datang kemudian”.

NAMUN bagaimana pula jika bidang yang kita pakar itu tiada nilai dalam pasaran?

Setakat ini, semua pakar bidang ada nilai dalam pasaran. Pakar makan sayur ada nilai yang tinggi kepada ibu bapa yang mahu mendidik anak mereka agar gemar makan sayur. Contoh lain: Pakar Tidur. Pakar Tidur ada pasaran yang tinggi kepada mereka yang ada masalah tidak boleh tidur.

Itu sebenarnya adalah masalah yang lain pula, iaitu masalah pemasaran. Lain topik, maka lain post. :)

“Do not chase succeess. But be excellent, success will come for you”
– Ranchoddas Shamaldas Chanchad

Artikel Lain
   

Hakcipta Terpelihara © 2017 Izwan Wahab