Yang Mana Datang Dahulu: Bisnes Dahulukah atau Website Dahulu?

ARTICLE

Ini soalan yang ramai mereka yang baru mahu mula dengan bisnes, kemudian tahu pula tentang kepentingan website, sentiasa tertanya-tanya.

Jawapannya mudah. Malah, jawapannya sudah ada dalam soalan.

Mestilah bisnes datang dahulu, kemudian baru fikir tentang website.

Kesilapan yang biasa kita lihat adalah apabila kita hanya nampak apa yang orang lain buat SEKARANG, lalu kita anggap itulah yang mereka buat dahulu.

Sekarang kita nampak banyak minisite yang menjual pelbagai jenis produk. Maka kita sangka mereka buat website dahulu, kemudian baru datang jualan.

Sekarang kita nampak banyak blog-blog yang memberi pulangan yang besar kepada tuan punya blog. Maka kita sangka mereka berusaha buat blog dahulu, kemudian baru datang jualan.

Kita terlepas pandang yang tuan punya minisite tersebut terlebih dahulu sudah ada paling kurang 10 orang pembeli sebelum ini. Mungkin beliau dapat 10 pelanggan tersebut dengan cara jual di ofis dan kawasan sekitar. Beliau telah duduk dengan pelanggan beliau, berusaha memahami kehendak dan keperluan mereka, kemudian berusaha pula memahami ‘bahasa jualan’ mereka, kemudian berusaha pula mencari jalan penyelesaian kepada mereka.

Banyak kerja ‘foundation’, menyiapkan tapak bisnes, sebelum beliau membuka website jualan. Hanya apabila foundation bisnes tersebut kukuh barulah beliau besarkan usaha jualan dengan menggunakan minisite sebagai channel.

Kita terlepas pandang yang tuan punya blog tersebut telah 6 tahun dalam industri beliau, contohnya kewangan peribadi. Beliau sudah pernah bantu kawan-kawan atau saudara-mara tentang kewangan peribadi mereka. Beliau sudah ada banyak maklumat dalaman dan sudah ada framework langkah-demi-langkah membantu orang lain mendapat manfaat daripada framework tersebut.Beliau sudah tahu ‘bahasa jualan’, keperluan dan kehendak bakal pelanggan. Malah, beliau sebenarnya sudah ada paling kurang 10 klien yang memang beliau jaga dan guide sehingga berjaya menyelesaikan masalah kewangan mereka.

Banyak kerja-kerja tapak bisnes yang telah beliau siapkan, sebelum beliau membuka blog beliau. Blog beliau hanyalah salah satu channel jualan yang diusahakan.

Kita harus pegang bahawa website adalah salah satu channel dalam ‘membesarkan’ bisnes kita. Kita tidak boleh ‘membesarkan’ bisnes jika kita belum pun ada bisnes tersebut.

ps: Namun sepertimana banyak perkara lain dalam dunia, perkara ini juga ada pengecualian. Saya tinggalkan persoalan tersebut untuk tetuan fikirkan dahulu, sebelum saya post minggu depan. :)

Artikel Lain
   

Hakcipta Terpelihara © 2017 Izwan Wahab