8 Prinsip Melangkaui Bidang Yang Saya Pegang

UMUM

Ada terlalu banyak teknik dalam dunia ini. Malah kita boleh katakan pasti akan ada teknik baru yang dicipta setiap hari. Ibarat teknik baru dicipta mengikut setiap hela nafas kita. Banyak!

Lama-kelamaan kita akan lemas dalam menadah ilmu tentang teknik. Dari satu teknik ke satu teknik, lama-lama kita penat menghadap perkara yang tidak akan habis.

Pada ketika itulah, kita akan mula mencari-cari, apakah ada cara yang lebih kukuh dan universal, yang boleh kita aplikasi ke atas banyak perkara. Kita mula mencari ‘the absolute truth’. Kita mula mencari ‘substance’ berbanding mengikut hype.

Kita mula mencari Prinsip berbanding Metod.

Berikut adalah senarai prinsip yang saya pegang semasa membaca dan menghadam maklumat baru mengenai teknik mahupun strategi. Setakat ini, saya mudah faham banyak perkara yang kompleks apabila memandang setiap teknik daripada sudut prinsip-prinsip ini. Kebanyakan teknik dan metod yang ditunjukkan rupa-rupa berkisar kepada prinsip-prinsip asas berikut:

1. Pareto Law – Hukum yang mengatakan 80% hasil datang daripada 20% sumber. Contoh paling ketara adalah 80% daripada sales kita datangnya daripada 20% customer.

2. Tiada Salah Mahupun Betul – kebanyakan perdebatan mencari pihak yang salah dan betul, sebenarnya tidak wujud. Prinsip ini menjadikan kita lebih empathy kepada semua pihak dan meletakkan fokus perbincangan kepada masalah yang timbul dan penyelesaiannya, bukan pada orang yang buat salah. Satu lagi adalah kerana prinsip berikut:

3. Kebanyakan Masalah adalah Masalah Komunikasi – jika kita dig down segala masalah dan cabaran yang timbul, walaupun masalah tersebut timbul daripada sistem, pasti ia akan kembali kepada komunikasi antara manusia. Jika kita boleh menyampaikan mesej dengan tepat, pastinya sangat kurang masalah yang timbul. Malah, kebanyakan sistem menyelesaikan masalah boleh kita lihat berkisar kepada menjadikan komunikasi lebih tepat.

4. Human Will Not Change – ini saya ceduk daripada rancangan Dr. House. Secara umumnya, manusia memang tidak mampu berubah dengan sendirinya. Ini kerana kita sebagai manusia juga turut mengikut Hukum Newton kedua: objek akan kekal pegun selagi tiada daya luar mengubahnya. Manusia sangat-sangat sukar berubah kecuali ada sesuatu faktor luar yang memaksa mereka berubah. Ketika itu baru mereka sedar yang mereka mampu berubah.

5. Start -> Systemize -> Scale – ini pula adalah prinsip utama dalam membangunkan bisnes. Ia satu kitaran bisnes yang penting. Pertama, kita mesti mula daripada kosong. Mesti mula daripada sesuatu tidak kisah ia kecil atau besar. Paling cantik kita bermula dengan apa yang ada ditangan kita sekarang. Mula jual beli perkara tersebut atau beri servis berdasarkan kemampuan kita. Setelah ada jualan, kita perlu bangunkan sistem untuk bisnes kita. Kita mesti mampu automasikan kesemua aktiviti bisnes kita. Setelah lengkap sistem bisnes kita, maka ketika itulah kita tahu setiap RM yang kita suntik dalam bisnes kita pasti memberikan pulangan yang berkali ganda dengan sistematik. Ketika itulah baru kita scale up atau besarkan bisnes kita dengan cara pusing semula keuntungan atau menyuntik modal dengan cara lain seperti pinjaman bank ataupun menjual pegangan saham kita.

6. Semua Akan Mati – Semua perkara di dunia ini ada pengakhirannya. SEMUA perkara tiada pengecualian. Bezanya mungkin ada yang berumur panjang dan ada yang berumur pendek. Ini juga saya pegang berkaitan trend dan evergreen. Pasaran evergreen contohnya bukanlah pasaran yang tidak akan mati tetapi pasaran yang berumur panjang. Sampai satu masa ia akan mati juga. Setiap musim keuntungan akan berakhir dan setiap musim sukar akan juga berakhir.

7. Fokus & Konsisten – Ini adalah prinsip yang saya cedok daripada rakan baik saya, Zamri Mohamad. Ini adalah prinsip beliau dalam menulis buku. Biar sedikit progress asalkan fokus dan konsisten pada satu-satu projek yang sedang diusahakan. Apabila kita konsisten ulang perkara yang sama setiap hari, ia perlahan-lahan akan jadi tabiat. Apabila ia menjadi tabiat, memang sukar bagi kita untuk berhenti melakukannya. Kita jadi automatik melakukannya setiap hari. Kerana itulah menulis menjadi kerja yang mudah pada beliau. Dan kini, saya juga menulis tanpa bergantung kepada mood dan semangat. Memang sudah jadi tabiat setiap pagi apabila buka laptop saya terus menulis. Prinsip fokus & konsisten ini boleh digunakan ke atas semua perkara yang kita mahu jadikan habit. Contohnya bersenam, membaca dan lain-lain lagi.

8. Sentiasa Ada 2 Pilihan Tambahan –┬áPilih Semua atau Tidak Pilih Langsung. Ini adalah prinsip yang saya pegang semasa menganalisa pilihan. Semua pilihan yang diberi kepada kita, sebenarnya sentiasa ada 2 pilihan tambahan yang lain. 2 pilihan tersebut adalah samada kita memilih “semua pilihan” atau kita “tidak pilih” langsung mana-mana pilihan yang ada. Ini kerana salah satu teknik menjual yang amat berkesan adalah memberi pilihan kepada pelanggan yang mana kesemua pilihan tersebut akan membuatkan pelanggan membeli. Jika kita sedar perkara ini, maka kita perlu mencipta satu mekanisme dalam diri agar tidak mudah terpengaruh dengan penjual. Prinsip inilah yang saya cipta sendiri untuk menangani teknik menjual tersebut. Setiap kali saya diberi pilihan, saya akan fikirkan juga untuk memilih semua sekali atau tidak pilih langsung. Kuasa memilih ditangan kita. Nilai diri kita ditentukan oleh pilihan yang kita buat.

Itulah 8 prinsip yang boleh kita pegang dalam kehidupan. Setiap prinsip tersebut sebenarnya melangkaui bidang dan masa. Malah, daripada pemerhatian rambang, banyak teknik pemasaran, jualan, teknik mempengaruhi orang dan teknik pengurusan manusia dan sumber boleh kita rangkumkan dalam prinsip-prinsip di atas.

Mungkin kita boleh lawati setiap prinsip di atas dalam satu post khusus yang lebih terperinci dan mendalam agar lebih mudah kita hadam.

Artikel Lain
   

Hakcipta Terpelihara © 2017 Izwan Wahab