1 Jenis Syarikat Yang Tidak Akan Berkembang

ARTICLE + BISNES

Ada 3 jenis syarikat yang kita ada di Malaysia ini. Dahulu hanya dua kini sudah bertiga. 3 jenis syarikat tersebut adalah:

  1. Enterprise
  2. PLT
  3. Sdn Bhd

Setiap satu jenis syarikat di atas mempunyai kapasiti yang berbeza dengan bidang kuasa yang berbeza.

Syarikat dengan bidang kuasa yang paling rendah adalah Syarikat Jenis Enterprise. Kuasanya sangat rendah hinggakan ia sebenarnya tidak boleh digelar syarikat pun.

Ini kerana pendaftaran Enterprise secara teknikalnya hanya mengakui dan mengesahkan empunya nama syarikat tersebut dibolehkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Ia seperti lesen memandu kita, cuma yang ini untuk perniagaan.

Apabila kita mendaftar syarikat enterprise, kita secara kasarnya meletakkan nama kita sebagai ‘pengeras’ dalam menjalankan bisnes. Kita meletakkan diri kita sebagai kunci utama segala-galanya.

Oleh yang demikian, kita boleh membuka akaun bank atas nama kita/syarikat untuk menerima bayaran transaksi perniagaan. Kita juga boleh mengeluarkan invoice atas nama syarikat dan sebagainya.

Bunyinya sangat awesome pada ego kita, tetapi ia hanyalah sekadar itu: pengurut ego.

Itu semua tidak berguna sebenarnya kerana syarikat enterprise adalah jenis syarikat yang tidak mungkin berkembang. Ya, TIDAK MUNGKIN.

Mengapa jadi begitu?

Kerana syarikat tersebut semata-mata atas nama kita!

Ia tidak boleh dipindah milik kepada orang lain. Kita tidak boleh ‘berkongsi’ syarikat tersebut dengan orang lain. Iyalah, mana mungkin kita kongsi ‘diri’ kita dengan orang lain. Tidak lojik!

Apabila ia tidak boleh dikongsi dan dipindah milik, ia menjadi satu entiti yang melekat pada badan kita.

Apabila ia melekat pada badan kita, ia tiada nilai langsung pada orang lain.

Apabila ia tiada nilai pada orang lain, orang lain tidak akan membantu syarikat kita.

Apabila tiada bantuan, syarikat enterprise kita tidak mungkin berkembang.

Yang paling menyedihkan, apabila kita mati, syarikat enterprise tersebut tidak boleh diwariskan kepada anak-anak kita.

Putuslah segala usaha dan jerih perih kita apabila putusnya nyawa kita.

ps: Jenis syarikat apa pula yang sesuai untuk berkembang? Sambung baca Jenis Syarikat Khusus Untuk Berkembang

Artikel Lain
   

Hakcipta Terpelihara © 2017 Izwan Wahab